Announcements

News

Ambil dos penggalak sehingga Februari depan
Posted on : 21 Dec 2021  Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2021/12/21/ambil-dos-penggalak-sehingga-februari-depan
 

Gambar arkib Utusan Borneo

KUCHING: Semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin siri primer) di Sarawak perlu mengambil dos penggalak selewat-lewatnya pada bulan Februari 2022 bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, individu yang tidak mengambil dos penggalak selepas tempoh tersebut tidak layak menerima kemudahan-kemudahan sepertimana yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19.

Menurutnya juga, status vaksinasi juga akan ditukarkan menjadi tidak lengkap sekiranya masih belum mengambil dos penggalak selepas tempoh tersebut.

“Keputusan ini dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 - Booster (CITF-B) Kebangsaan pada 8 Disember 2021 yang telah mengesahkan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melalui Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE).

“Ia menyatakan semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin siri primer) perlu mengambil dos penggalak bagi mengekalkan status penerima dos lengkap vaksin COVID-19,” ujar JPBNS.

Tambah JPBNS, aktiviti pemberian dos penggalak ini dilaksanakan di klinik swasta, hospital swasta, klinik kesihatan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam, PPV Integrasi dan secara mobile/outreach. 

“Pemberian dos penggalak di semua PPV adalah secara percuma termasuk PPV GP dan PPV Hospital Swasta. 

“Mereka yang layak menerima dos penggalak akan mendapat tarikh janji temu melalui MySejahtera untuk hadir di mana-mana fasiliti kesihatan yang telah ditetapkan,”katanya.

Bagi yang layak tetapi masih belum menerima tarikh janji temu katanya, mereka boleh menghubungi PPV Awam, klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta untuk mendapatkan tarikh janji temu atau ‘walk in’ ke mana-mana PPV Integrasi.

Sementara itu JPBNS memaklumkan sejumlah 31 kes COVID-19 baharu direkodkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 252,064 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes merupakan kategori satu (tiada gejala), dan 21 kes kategori dua (gejala ringan).

“Selain itu, 10 kes direkodkan di Kuching, tujuh di Lawas, Sibu (enam), Miri (dua) dan masing-masing satu kes direkodkan di Bintulu, Lundu, Serian, Tanjung Manis, Tatau dan Subis,”ujarnya. 

Dalam pada itu, JPBNS turut memaklumkan tiada kes kematian dan kluster baharu dilaporkan hari ini.