News

 

MPP tawar hadiah cabutan bertuah RM20,000 galak bayar cukai taksiran

Posted on 04 Mar 2026
Source of News: https://www.tvsarawak.my/2026/03/04/mpp-tawar-hadiah-cabutan-bertuah-rm20000-galak-bayar-cukai-taksiran/
tankai
Pengerusi MPP, Tan Kai (tengah), menunjukkan poster promosi kempen cabutan bertuah ‘Bayar Cukai Taksiran dan Menang’ majlis tersebut yang menawarkan hadiah bernilai RM20,000.

KOTA PADAWAN, 4 Mac: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan melaksanakan kempen cabutan bertuah khas ‘Bayar Cukai Taksiran dan Menang’ yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM20,000 bagi menggalakkan pembayar cukai menjelaskan bil tahun 2026 dengan segera.

MPP dalam satu kenyataan memaklumkan program insentif itu terbuka kepada pemilik hartanah dan penghuni di bawah bidang kuasa majlis yang membayar cukai taksiran 2026 sepenuhnya, merangkumi bil penggal 1 dan 2.

Pihak majlis menjelaskan bahawa peserta juga perlu menjelaskan sebarang tunggakan pada atau sebelum 31 Mei untuk melayakkan diri bagi cabutan tersebut.

“Inisiatif ini diperkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada pembayar cukai yang bertanggungjawab memenuhi kewajipan mereka lebih awal dan secara penuh. Ia juga mencerminkan pendekatan proaktif dan mesra pelanggan pihak majlis dalam memupuk budaya pembayaran tepat pada masanya,” jelas kenyataan itu.

Cabutan bertuah tersebut dijadualkan berlangsung pada akhir Jun 2026 dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pembayar cukai yang layak.

Penyertaan terbuka kepada semua pegangan berkadar yang didaftarkan di bawah pemilikan individu dalam sistem MPP, manakala pihak majlis turut menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama program seumpama itu dianjurkan.

“Kami amat menggalakkan semua pemilik hartanah dan penghuni di kawasan MPP untuk menjelaskan cukai taksiran mereka secepat mungkin sebelum tarikh tutup pada 31 Mei bagi melayakkan diri untuk cabutan bertuah ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Menurut pihak majlis, pembayaran cukai taksiran yang tepat pada masanya menyumbang secara langsung kepada keupayaan majlis untuk menyelenggara kemudahan awam, menambah baik perkhidmatan perbandaran serta meningkatkan kualiti hidup komuniti Padawan secara keseluruhan. – TVS