
KUCHING, 8 Feb: Pengiktirafan tujuh bandar di Sarawak sebagai calon bagi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (Child Friendly Cities Initiative – CFCI) oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menandakan satu lagi pencapaian penting ke arah pembangunan bandar yang lebih inklusif, prihatin dan responsif terhadap keperluan kanak-kanak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan negeri menghargai peranan UNICEF serta semua pihak berkaitan yang membimbing pihak berkuasa tempatan sehingga mencapai status bandar calon CFCI.
Menurut beliau, semua bandar yang dicalonkan perlu memastikan Pelan Tindakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak dilaksanakan dengan berkesan mengikut garis masa ditetapkan bagi mengelakkan pencalonan terbatal.
“UNICEF memberi kita garis masa, bukan sekadar terbuka begitu sahaja kerana jika pada masa tertentu kita tidak melakukan dengan betul pelan tindakan itu maka pencalonan ini akan dipadam.
“Oleh itu, saya sangat gembira anda mengikuti bengkel tadi kerana melalui bengkel tadi sekurang-kurangnya lebih daripada RM58 juta dalam pelan tindakan akan diberikan untuk anak-anak kita ini dan itu sebagai permulaan yang baik, juga terima kasih kerana menekankan isu vape dan lampu jalan rosak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pengiktirafan Bandar Calon Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak 2026 di Kuching pada Ahad.
Tambah beliau, Sarawak yang merekodkan tujuh daripada 11 bandar yang dikenal pasti untuk pencalonan CFCI sekali lagi membuktikan kesungguhan negeri itu untuk berada di barisan hadapan pembangunan bandar berteraskan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.
Menurutnya, pengiktirafan ini hanyalah permulaan dengan perancangan jangka panjang bagi memperluaskan pelaksanaan CFCI ke peringkat pihak berkuasa tempatan lain termasuk majlis perbandaran dan majlis daerah.
Pada Disember lalu, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mencatat pencapaian awal apabila menerima pengiktirafan UNICEF sebagai bandar calon CFCI.
Hari ini, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Majlis Bandaraya Miri (MCC), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Sibu (SMC) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) turut disenaraikan sebagai bandar calon dalam inisiatif tersebut. — TVS